Monday 28 January 2013

Coretan 5 Minit Si Pelatih Dalam Kamar

Ramai bertanya, bila lagi saya akan mengeluarkan artikel berkenaan pengalaman saya sepanjang bergelar Pelatih dalam Kamar. Ada juga yang meminta saya mengemaskini blog saya. Berkongsi ceritera cerita sebagai Pelatih Dalam Kamar, agar mereka mendapat sedikit gambaran bagaimana kehidupan bergelar seorang 'Chambee'. Hanya senyuman yang mampu saya berikan. Ceritera ceritaku sangat banyak. Kutitip rapi dalam penulisanku dalam wadah yang lain agar dapat dibukukan. Itu cita-citaku selepas tamat tempoh 9 bulan ini.

Kehidupan Seorang Pelatih Dalam Kamar yang penuh warna-warni. Hakikatnya ia hanya dapat difahami bagi rakan-rakan yang 'chambering' dan yang pernah lalui fasa ini. Asam Garam. Suka Duka. Pahit Manis, yang kadang-kala lebih pahit dari manisnya. Tapi, begitulah episod-episod untuk mendapatkan kemanisan di pengakhiran. Tak thrill tak menarik. Yang pahit itulah yang akan kita kenang. Menjadikan kita lebih berhati-hati. Bersyukur dengan apa yang kita ada. Membaiki diri untuk jadi lebih baik. Kuncinya SABAR.

Kepada rakan-rakan yang berkongsi cerita, ya setiap daripada punya kisah kita sendiri.

Nak berceritakan kisah saya, tapi kadang-kadang cabaran-cabaran rakan-rakan saya lagi hebat daripada diri saya sendiri. 

Setiap daripada kami diuji daripada pelbagai aspek. Ada yang melibatkan wang. 

Ada yang melibatkan emosi. Ada yang melibatkan pegangan agama. Ada yang melibatkan isu gender. Dan ada yang melibatkan pegangan maruah diri.

Setiap daripada kita, Allah s.w.t uji dengan caranya tersendiri. Sebab Allah  s.w.t. tahu kita boleh hadapi. Kita mampu. Bukankah ada Allah s.w.t berfirman; 

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya" 
Surah Al-Baqarah, Ayat 286

Cuma, persoalannya bagaimana? Bagaimana kita nak hadapi semua ini? Allah s.w.t beri kita akal bukan? Satu 'benda' yang teramat penting yang membezakan kita dengan haiwan. Memang haiwan juga punya masalah. Tapi kita, Allah s.w.t kurniakan akal. Kita perlu gunakan akal bagaimana untuk mengatasinya dengan apa yang kita ada.

Kadang-kadang kita terlupa untuk berdoa setiap kali sebelum kita memulakan pekerjaan. Pergantungan kita kepada Allah kadang-kadang kita lupakan.


"Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku. dan mudahkanlah untukku urusanku. dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku. Supaya mereka mengerti perkataanku."


Ya, bulan ini genap 6 bulan saya bergelar Pelatih Dalam Kamar. Ya, lagi 3 bulan. Tarikh rasmi saya tamat adalah pada 2hb Mei 2013. Namun, saya masih merasakan diri masih banyak yang tidak dipelajari. Dan pada masa sama, saya tidak menafikan yang saya telah pelajari BANYAK perkara dalam tempoh enam bulan ini. Semuanya diambil dan dilihat secara positif.

Pengalaman bekerja di bawah tekanan akan menjadikan kita lebih berhati-hati dan bijak mengatur langkah.

Pengalaman bekerja di bawah tekanan emosi akan menjadikan kita lebih cekal dan bijak mengawal emosi.

Pengalaman bekerja dengan meletakkan pergantungan 150% dan kepercayaan kepada Allah selepas usaha dan ikhtiar.

Pengalaman bekerja di bawah tekanan menjadikan kita lebih tersusun agar kita tidak tersilap langkah dan membuang masa.

Pengalaman dengan tidak melengah-lengahkan pekerjaan dan mengurus masa.

Pengalaman bekerja dan meraikan kepelbagaian asam-ragam manusia.

Pengalaman bekerja dalam menegakkan pendirian agama mengatasi segala-galanya.

Dan banyak lagi.
Kepada sahabat-sahabatku,

Seperti gambar di sebelah, "Teruskan Perjuangan" Sedikit sahaja lagi. Kita hampir ke situ.

Membaiki diri untuk jadi lebih baik. Walau apapun yang terjadi, kita perlu bangga dengan diri kita. Kita tak boleh mengubah sekeliling. Tapi kita boleh ubah diri kita untuk 'fit' dengan keadaan. Tanpa menggadaikan apa yang kita percaya.

Kita punya banyak cara dan alternatif untuk tempohi tempoh ini. Kita semua boleh. Ya, semua boleh. Siapa Boleh? Saya Boleh!! Siapa Boleh? Awak Pun Boleh Juga!! ^_^

Itu sahaja daripada saya. Coretan 5 Minit Si Pelatih Dalam Kamar. Serba sedikit perkongsian kisah kehidupan saya dan rakan-rakan saya juga, Si Pelatih Dalam Kamar. 

P/S: Kawan-kawan, artikel ini boleh guna "Parole Evidence Rule" tak? ^_^