Monday, 16 February 2009

Amar Ma'ruf Nahi Mungkar

Bismillah,
Entri ini ditulis untuk mengingatkan diri dan pembaca akan kepentingan "Amar Ma'ruf Nahi Mungkar".
===============
Kita hidup bersama rakan. Rakan ketawa. Rakan suka. Rakan duka. Tapi adakah kita benar-benar sayang rakan kita? Adakah kita rakan yang baik kepada mereka? Cuba tanya pada diri. Adakah kita pernah amar ma'ruf nahi mungkar kepada mereka? Adakah kita sudah mengingatkan mereka seandainya kita kasih kepada mereka?
Makna Amar Ma'ruf Nahi Mungkar boleh saya definisikan sebagai menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ayat ini boleh di lihat dalam konteks yang sangat luas.

Tapi di sini, saya mahu fokus kepada bagaimana kita menegur rakan kita. Rakan yang selalu bersama kita. Adakah kita sudah bersedia? Adakah betul caranya? Adakah kena tempatnya?

"Kau tak kenal aku. Apa hak kau untuk tegur aku? Kenapa kau cakap kat kawan-kawan aku untuk tegur aku? Kenapa kau tak cakap sendiri je dengan aku?"

Adakah kita perlu kenal rapat dengan seseorang sebelum menegur dirinya?

Dalam konteks ini, kita kena melihat kepada siapa dan situasi apakah yang berlaku.

Situasi 1

Jika ada sepasang couple itu sedang “………”, persoalannya, adakah anda perlu mengenali pasangan tersebut dan baru hendak menegur mereka?

Situasi 2

Jika dia sahabat sekuliyyah dengan anda tetapi anda tidak mengenalinya dengan rapat, tetapi dia ada melakukan dosa-dosa kecil, adakah anda pelu mengenali dengan rapat baru hendak menegur? Tidakkah masa yang anda ambil untuk mengenali dirinya merugikan masa anda dan sempatkah hendak dihalang dari dosanya dari berterusan?

Bagi situasi yang pertama, saya rasa kita tidak perlu mengenali pasangan tersebut ketika itu. Isu rapat atau kenal adalah tidak relevent.

Bagi situasi yang kedua, adakah kita perlu menjadi terlalu rapat untuk menegur sesama rakan kita? Mungkin salah satu cara yang boleh diambil dengan memberi tahu rakan yang rapat dengan rakan yang ingin ditegur. Mungkin cara ini, lebih mudah. Jika anda punya kekuatan, terus terang sahaja dengan tuan punya badan.

"Aku belajar agama. Aku pakai tudung. Aku tak free hair. Apa hak korang untuk tegur aku. Aku tahu apa batas-batas. Tapi aku ikut atau tak ikut, itu hak aku. Korang takde hak ke atas aku."

Seseorang muslim itu punya hak ke atas dirinya. Tetapi, Allah pernah kata..
"Bertolong-tolonglah kamu ke arah kebaikan dan Jangan kepada keburukan atau kejahatan”.

Jika kita lihat dalam konteks ini, tidak salah jika kita saling ingat mengingatkan antara satu sama lain. Muslim yang baik ialah muslim yang soleh dan musleh. Muslim yang baik amalnya dan pada masa yang sama mengajak rakan-rakan membuat kebaikan.

Jika seseorang itu mengaku sudah cukup ilmu agamanya, seseorang itu perlu untuk mempraktikkannya. Bukankah Islam mengajar kita Ilmu-Ilman-Amal?

"Siapa korang untuk tegur aku? Korang sebaya je dengan aku? Korang sekelas ngan aku. Macamlah korang baik sangat?"

Untuk menegur sesiapa pun, tidak perlu sesorang itu menjadi seorang yang tinggi ilmunya. Adakah orang itu memerlukan PhD, baru boleh menegur orang lain jika membuat salah?Jikalah hukum alam ini menetapkan seseorang itu untuk menjadi alim barulah boleh menegur yang lain, alamatnya, kucar-kacirlah alam ini dengan kemungkaran yang berleluasa.

Memang, kita semua tidak sempurna. Kerana itulah konsep 'amar ma'ruf ini penting, untuk menjadikan diri kita dan lain-lain lebih baik.

"Janganlah korang nak menegur aku, nanti karang, korang pun akan buat benda tu jugak" " Time mudalah nak enjoy. Takkan nak tunggu tua baru nak buat semua benda ni"

Sebenarnya, prinsip ini sangat salah. Kita yang mudalah kena banyak berbuat amal kebaikan. Kita yang mudalah yang masih punya tenaga yang lebih untuk buat itu dan ini. Kita tidak tahu bila kita akan mati. Jadi kita kena berlumba-lumba ke arah kebaikan dari sekarang.

Jika kita takut untuk menegur yang lain kerana takut suatu hari nanti kita akan buat, kita harus betulkan niat ketika kita menegur rakan kita. Kita hendaklah menanamkan dalam diri, kita menegur bukanlah kerana menyampah pada mereka, tetapi sayang kepada mereka. Kita tidak mahu mereka terjebak dalam kemelut kemungkaran.

Satu lagi, semasa kita menegur mereka, kita hendaklah mengingatkan diri kita bahawa teguran itu juga adalah untuk diri kita juga. Mulut kita yang berbicara. Telinga kita yang pertama mendengar. Jadi, biarlah apa yang kita cakapkan menjadi peringatan kepada diri kita juga. Rasanya, jika elemen-elemen ini diterapkan, tidak akan ada isu orang itu "cakap tidak serupa bikin."
============

Rasanya ini sahaja coretan untuk kali ni. Saya akhiri dengan satu kisah benar yang berlaku di sekolah ketika saya berprogram.

Ustaz
: Hari ini abang mahu berbicara mengenai ciri-ciri pemimpin. Yang pertama, Amar Ma'ruf Nahi Mungkar. Abang nak tanya adik-adik, adik-adik ada suruh kawan-kawan di sekolah buat baik tak?

Pelajar-pelajar
: Tak...

Saya dan Hajar hanya tersenyum di belakang melihatkan ketulusan hati adik-adik ini menjawab.

Cuba tanya diri kita, adakah kita setara dengan adik-adik ini?
Renung-renungkan...

No comments: