Friday 19 August 2011

[Laporan] Iftar Jamaie Batch G4 Al-Amin Bangi

Alhamdulillah, majlis berbuka puasa berjemaah telah diadakan di Rumah Salaam di Serdang. Seramai 15 orang telah hadir ke majlis ini. (Termasuk isteri Salaam, Jannah dan isteri Syed Bahri, Amalina)

Mualimah Sofea dan Pakcik Shafrudin turut hadir di majlis ini.

Selepas Solat Maghrib, acara makan-makan dijalankan sambil bertukar cerita di kalangan ahli-ahli yang hadir.

Tuan Pengerusi Majlis AO telah mengendalikan majlis dengan menjemput Tuan Rumah Salaam untuk memberi ucapan beserta tazkirah ringkas. Tazkirah berkisar kepada kemanisan ukhuwah dan sistem pendidikan awal yang diterima di Al-Amin membentuk diri kita sekarang.

Seterusnya, semua ahli dikehendaki menceritakan perkembangan terkini setelah 2 tahun tidak berjumpa dari perjumpaan yang lepas.

Majlis bersurai dalam pukul 9.45 malam.

Diharapkan kehadiran ahli bertambah lagi di masa akan datang dengan lebih banyak lokasi-lokasi baru ditawarkan oleh ahli-ahli.


Sekian, saya melaporkan.

Raihan Mustafa Kamal

=================

Gambar 15 tahun dahulu...



Gambar terkini 2011..
[Sama ke dengan 15 tahun yang lalu? hehehe ^_^]


Dari kiri: Mus'ab, Qayyim, Abdullah Abbas, Sufee, Amir, Syed Bahri, AO dan Salaam

Puan Asma', Puan Ummul Khairiyah, Cik Puan Farhana, Puan Amalina dan Saya ^_^

Saturday 13 August 2011

Murtad: Antara Hak atau Kejahilan?

Artikel ini ditulis rentetan artikel yang ditulis oleh dua rakan baik saya, Sheikh Muslem dan Cik Puan Maryam Khalid. Artikel mereka boleh dibaca di sini. Muslem Maryam


Pendahuluan

Terbaru, kita digemparkan dengan berita mengenai pihak berkuasa yang menyerbu sebuah gereja kerana dikatakan pada ketika itu aktiviti memurtadkan sekumpulan orang Melayu sedang diadakan. Sama ada benar atau tidak kebenarannya, itu bukan persoalannya. Biarlah laporan lengkap dikeluarkan terlebih dahulu. Siapalah kita untuk menganalisis sesuatu perkara tanpa mendengar kebenaran daripada pihak-pihak berkaitan.

Namun begitu, isu yang penting di sini adalah mengenai MURTAD. Ya, mengenai MURTAD. Jikalah benar keadaan ini, adakah masyarakat kita sudah jahil agamanya?


Isu Pertama: Murtad, Di Mana Silapnya?

Islam telah menetapkan dan menyenaraikan jenayah murtad sebagai salah satu jenayah hudud dalam Islam. Hukumannya adalah bunuh. (Walaupun ada perselisihan pendapat ulama’ mengenai hukum murtad bagi seorang lelaki atau perempuan, para ulama’ telah bersepakat bahawa hukuman bagi murtad adalah bunuh- Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh - 6:186)

Walau bagaimanapun, sebelum hukuman bunuh dijatuhkan, individu berkenaaan perlulah diberi sesi kaunseling untuk menyedarkan individu berkenaan sehingga beliau bertaubat. Jika tidak berjaya, barulah hukuman bunuh boleh dijatuhkan.

Persoalannya kini, kenapa isu murtad semakin menjadi-jadi? Adakah kita sudah tidak tahu, ia merupakan satu dosa besar? Na’uzubillah min zalik. Adakah masyarakat Islam kini hanya bercop “Islam” tapi bukan Islam di dalam hati? Islam hanya pada nama sahaja?

Contoh terdekat yang dapat kita lihat dalam bulan Ramadhan ini sendiri. Saya yakin dan percaya ada di kalangan kita yang tidak tahu kenapa kita perlu berpuasa dan faham bahawa puasa bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga. Ini baru contoh mudah. Kalau jenayah murtad pula?

Sedih rasanya apabila kita melihat mereka yang sebegini. Bukankah Islam itu indah? Bagi setiap apa yang ditetapkan oleh Allah s.wt sudah pasti ada sebabnya. Dalam setiap hukum-hukum sudah pasti ada sebabnya, asbabul nuzul (sebab-sebab ayat diturunkan) dan rationalnya.

Semoga kita dijauhkan daripada menjadi sebahagian daripada golongan ini. Ameen.


Isu Kedua: Murtad adalah lambang hak kebebasan beragama di Malaysia?

Di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang paling tinggi di Negara. Di dalam Perlembangan ini, telah disenaraikan hak-hak seseorang individu di dalam Negara Malaysia.

Fasal 11 Perlembagaan Persekutuan merupakan Fasal yang menyatakan secara jelas mengenai kebebasan beragama bagi seorang individu di Malaysia. Mana-mana pihak tidak boleh menghalang individu-individu lain dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada agama masing-masing.

Namun begitu, ini tidak bermakna jika anda seorang Islam dan anda sudah tidak mempercayai Islam, anda boleh mengubah agama anda dengan menggunakan Fasal 11 ini. Saya amat tidak bersetuju dengan pernyataan Dato’ Zaid mengenai isu ini.

Menurut beliau:

Zaid however pointed out that the true essence of Article 11 forbade proselytizing to Muslims but acknowledged a Muslim’s right to religious freedom.

“Kita believes that this freedom belongs to everyone – Muslims and non-Muslims – and is a fundamental right of every human being,” he said in a statement today.

“We believe it is cruel for anyone to be forced to accept a religious belief or faith that he or she in all good conscience has renounced or refuses to believe in.”

Jika kita teliti dengan betul-betul, Fasal 11 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh digunapakai oleh individu Islam untuk menukar agamanya. Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan agama Islam adalah agama Persekutuan. Agama Islam diangkat di dalam Negara ini. Dan dalam erti kata lain, disebabkan agama Islam adalah agama persekutuan, anda tidak boleh menukar agama jika anda seorang Islam kerana undang-undang mengangkat agama Islam itu sendiri.

Seperkara lagi, kebebasan agama bagi semua individu dalam Fasal 11 ini bermakna kebebasan seseorang untuk beribadat tetapi bukan kebebasan menukar agama bagi orang Islam kerana sememangnya itu HARAM di sisi agama.


Isu ketiga: Peguam Muslim Mewakili Orang Murtad

Semasa saya di dalam kelas bagi subjek Professional Practice di UIA, Mr Baha pernah berpesan. Jika sesuatu kes atau tugas itu bertentangan dengan agama islam, kita sepatutnya menolak.

Ayat mudah yang diberikan olehnya:-

“It’s against my personal belief. Therefore, I cannot assist in this case or matter”.

Walaubagaimanapun, pada pandangan saya, kita perlu melihat kepada situasi sesuatu kes yang ada. Case-to-case basis. Ini kerana kita tidak boleh menghukum dan menganggap semua kes murtad adalah sama. Sebagai contoh (berdasarkan kes yang pernah saya temui semasa praktikal di Firma Guaman ZRTA), ada seorang individu orang peribumi yang mahu menukar status agama ISLAM di Kad Pengenalannya sedangkan dia tidak pernah menganut dan mengamalkan agama ISLAM. Jadi, tidak salah membantu individu berkenaan.

Berbeza pula, kalau individu tersebut belajar di Universiti Azhar dan sudah mendapat didikan agama dari kecil. Jika kita membantu individu ini, dikhuatiri kita akan bersubahat sama.

Pokok pangkalnya, kita perlu lihat apa tujuan sebenar kita dalam mengendalikan kes murtad ini. Adakah kerana anakguam kita mampu membayar kita atau adakah dengan menukar agamanya akan memberikan keadilan kepada individu berkenaaan.


Isu keempat: Menjadi Peguam Hak Asasi adalah Fardu Kifayah

Jika dibandingkan jumlah peguam bukan Islam yang lantang bersuara mengenai hak-hak asasi manusia, kita masih jauh ketinggalan. Sesungguhnya, kita perlu lebih ramai Peguam Muslim yang petah berkata-kata dan memperjuangkan hak-hak ini jugadan yang penting faham mengenai hak-hak ini. Bukan istilah “Kalau boleh” tetapi “Mesti Boleh”.

Saya masih pegang kata-kata bos saya di ZRTA sewaktu saya berpraktikal, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar:

“ Menjadi lawyer adalah Fardu Kifayah”

Saya yakin dan percaya ini juga boleh diguna pakai dalam melahirkan lebih ramai peguam-peguam muslim yang memperjuangkan mengenai hak-hak ini. Tanggungjawab ini adalah tanggungjawab semua. Tidak kiralah anda merupakan pelajar undang-undang mahupun pengamal undang-undang. Tidak kiralah anda pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang LLB atau Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Shariah LLBS. Selagi mana anda seorang Islam dan mempercayai "Tiada Tuhan Selain Allah dan NAbi Muhammad s.s.aw itu Pesuruh Allah", semua ada tanggungjawab ini.


Penutup

Kesimpulannya, murtad bukan lambang hak asasi manusia terutamanya bagi Negara yang mengangkat Islam sebagai agama rasminya. Murtad adalah lambang kejahilan.

Akhir kata, semua yang baik datang dari Allah s.w.t dan yang buruk itu melalui kelemahan saya sendiri. Hakikatnya kedua-duanya datang dari Allah s.w.t..

Saya menulis artikel ini berdasarkan apa yang saya telah pelajari dan apa yang saya fahami selama 4 tahun saya belajar undang-undang di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM.

=====

Rujukan tambahan:

1) Hukuman Bagi Orang Yang Murtad

Sunday 7 August 2011

Muhasabah Ramadhan



Rasanya masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Ramadhan 1432H. Ketika artikel ini ditulis, hampir genaplah seminggu umat Islam di Malaysia berpuasa dalam bulan Ramadhan. Pejam celik –pejam celik , terasa laju masa itu berjalan.

Di kesempatan ini, mari kita muhasabah diri kita untuk seminggu kita berpuasa. Adakah puasa kita hanya menahan diri dari lapar dan dahaga semata? Adakah amalan-amalan kita di bulan yang mulia ini bertambah atau sama atau semakin berkurang daripada bulan-bulan biasa?

Ramadhan Bulan Ketaqwaan

Sesungguhnya Ramadhan ini telah dijadikan Allah s.w.t sebagai satu bulan yang menggalakkan seluruh umat Islam untuk memperbaiki diri mereka untuk menjadi Muslim yang lebih baik. Bulan Ramadhan ini jugalah di mana Allah s.w.t memberikan ganjaran pahala amalannya berlipat ganda berbanding bulan-bulan lain.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah Ayat 183,

Maksudnya:

“Hai orang yang berimana, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”.

Maksud taqwa adalah mengerjakan perintah Allah s.w.t dan meninggalkan laranganNya. Dalam bulan inilah, Allah s.w.t memberikan kita peluang iaitu peluang bagi kita mengejar ketaqwaan Allah s.w.t.

Dalam sebulan ini, umat Islam seolah-olah berada dalam sebuah institusi latihan membentuk diri yang bertaqwa. Setelah tamat latihan tersebut, masing-masing sepatutnya saling membantu untuk mengekalkan ketaqwaan itu pada baki 11 bulan yang berikutnya.

Ramadhan Bulan penebus Dosa

Ibadah puasa juga sebagai penebus kepada segala dosa yang telah dilakukan sebelum ini. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :

Maksudnya:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah s.w.t, dosanya yang lalu telah diampuni (oleh Allah s.w.t)"

– Hadith Riwayat Al-Bukhari.

Betapa kasihnya Allah s.w.t terhadap hamba-hamba-Nya. Allah s.w.t memberikan kita peluang menebus segala dosa kita melalui bulan Ramadhan. Kita sewajarnya menghargai peluang ini dengan kita benar-benar memerhati kesempurnaan ibadah puasa kita agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa terdahulu.

Kesimpulan

Ayuh kita muhasabah kembali prestasi kita berpuasa selama 7 hari ini. Kita masih ada 23 hari lagi bagi meneruskan perjuangan kita dalam Ramadhan ini. Betapa kasihnya Allah terhadap kita dengan memberikan bulan Ramadhan ini bagi memperbaiki diri dan merebut pahala yang ada. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menghabiskan Ramadhan ini. Selamat Berjuang dan Selamat Berpuasa.