Sunday 7 August 2011

Muhasabah Ramadhan



Rasanya masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Ramadhan 1432H. Ketika artikel ini ditulis, hampir genaplah seminggu umat Islam di Malaysia berpuasa dalam bulan Ramadhan. Pejam celik –pejam celik , terasa laju masa itu berjalan.

Di kesempatan ini, mari kita muhasabah diri kita untuk seminggu kita berpuasa. Adakah puasa kita hanya menahan diri dari lapar dan dahaga semata? Adakah amalan-amalan kita di bulan yang mulia ini bertambah atau sama atau semakin berkurang daripada bulan-bulan biasa?

Ramadhan Bulan Ketaqwaan

Sesungguhnya Ramadhan ini telah dijadikan Allah s.w.t sebagai satu bulan yang menggalakkan seluruh umat Islam untuk memperbaiki diri mereka untuk menjadi Muslim yang lebih baik. Bulan Ramadhan ini jugalah di mana Allah s.w.t memberikan ganjaran pahala amalannya berlipat ganda berbanding bulan-bulan lain.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah Ayat 183,

Maksudnya:

“Hai orang yang berimana, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”.

Maksud taqwa adalah mengerjakan perintah Allah s.w.t dan meninggalkan laranganNya. Dalam bulan inilah, Allah s.w.t memberikan kita peluang iaitu peluang bagi kita mengejar ketaqwaan Allah s.w.t.

Dalam sebulan ini, umat Islam seolah-olah berada dalam sebuah institusi latihan membentuk diri yang bertaqwa. Setelah tamat latihan tersebut, masing-masing sepatutnya saling membantu untuk mengekalkan ketaqwaan itu pada baki 11 bulan yang berikutnya.

Ramadhan Bulan penebus Dosa

Ibadah puasa juga sebagai penebus kepada segala dosa yang telah dilakukan sebelum ini. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :

Maksudnya:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah s.w.t, dosanya yang lalu telah diampuni (oleh Allah s.w.t)"

– Hadith Riwayat Al-Bukhari.

Betapa kasihnya Allah s.w.t terhadap hamba-hamba-Nya. Allah s.w.t memberikan kita peluang menebus segala dosa kita melalui bulan Ramadhan. Kita sewajarnya menghargai peluang ini dengan kita benar-benar memerhati kesempurnaan ibadah puasa kita agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa terdahulu.

Kesimpulan

Ayuh kita muhasabah kembali prestasi kita berpuasa selama 7 hari ini. Kita masih ada 23 hari lagi bagi meneruskan perjuangan kita dalam Ramadhan ini. Betapa kasihnya Allah terhadap kita dengan memberikan bulan Ramadhan ini bagi memperbaiki diri dan merebut pahala yang ada. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menghabiskan Ramadhan ini. Selamat Berjuang dan Selamat Berpuasa.